Selasa, 13 Desember 2011

budaya jati diri

Pada masa- masa saat sekarang amat sesuai kiranya kita berfikir sejenak tentang proses pembudayaan dan hubungannya dengan jati diri. Pembudayaan dan jati diri adalah dua istilah yang sering dilaung-laungkan, tetapi erti dan kesannya kepada kehidupan mungkin belum sejauhmana dapat dihalusi atau difahami ke arah bersedia mendaulatkan negara bangsa.
Budaya biasanya dimengertikan sebagai cara hidup yang diterima oleh sesuatu masyarakat yang di dalamnya terkandung intipati pemikiran dan amalan baik dan murni.
Jati diri ialah unsur-unsur kehidupan yang mencerminkan lahiriah individu atau masyarakat. Dalam pengertian sahihnya, jati diri ialah identiti individu, masyarakat dan negara bangsa yang punya sifat-sifat keutuhan yang dibanggakan.
Dalam konteks inilah, misalnya, kesungguhan kaum Tionghua berniaga melahirkan generasi orang Cina yang cekal dan berjaya dalam dunia dagangan. Kebolehan berniaga pada kaum Cina adalah salah satu sifat jati diri mereka.
Dalam pengertian ini juga kita melihat budaya memperoleh ilmu dari Barat begitu diutamakan sehingga kita rela mempromosikan pelbagai kaedah dan pendekatan termasuk mewajibkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pembelajaran atau bahasa ilmu.
Kini Amerika Syarikat dan Eropah mampu mengeskport dan mendagangkan ilmu yang mereka peroleh mengikut percaturan dan formula mereka. Institusi pengajian tinggi mereka menjadi tumpuan pelajar-pelajar dari negara ketiga.
Dengan ilmu yang kita peroleh pula, kita menjana masyarakat kita. Malangnya, salah satu daripada eksport mereka, iaitu jati diri melalui amalan integriti agak perlahan muncul dan merebak ke dunia sebelah sini.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa institusi pengajian Barat bukan hanya mengeksport ilmu pengetahuan moden tetapi juga cara hidup mereka yang dijalin melalui muzik, filem, penerbitan dan media lain.
Justeru Amerika dan Eropah akan sentiasa mengeksport dua komoditi utama - ilmu pengetahuan dan budaya mereka. Dan yang ketiga ialah pemikiran mereka.
Menerusi cabang-cabang inilah kita di dunia sebelah sini harus berhati-hati dan bijaksana dalam proses memilih yang mana wajar ditelan dan yang mana harus diluahkan agar jati diri kita tetap utuh. Ini mudah diperkatakan tetapi amat sukar diamalkan.
Bagaimanakah kita harus membudayakan kembali informasi dan ilmu yang kita peroleh dari punca-punca luaran itu? Proses ubah suai dalam pembudayaan informasi dan ilmu pengetahuan itu amat menjadi pokok kepada tamadun kita di zaman mendatang.
Sesungguhnya pembudayaan informasi dan ilmu pengetahuan harus dicanai dengan efisien dan berkesan. Jika tidak, jati diri negara bangsa akan berkecai.
Mereka ada American Idol, kita pun lekas-Iekas membuat acuan menirunya. Apa yang mereka luahkan melalui Fear Factor, kita pun nanti menelannya bulat-bulat, sekalipun membaham ulat, jengking dan kala bukan budaya kita.
Biasanya pembudayaan atau proses menjadikan sesuatu itu sebagai cara dan gaya hidup adalalah berpunca daripada situasi di mana barangan atau benda dari luar itu menarik dan berguna kepada individu atau masyarakat.
Di atas ‘tarikan’ dan ‘kebergunaan’ inilah kita membuat penilaian dan akhirnya meniru hak orang, lalu melakukan apa yang orang luaran itu amalkan.
Kemanusiaan sejagat sebenarnya tidak salah dalam mengejar ilmu tetapi bagaimana ilmu atau informasi itu harus dicanai semula supaya mewujudkan jati diri negara bangsa, ia adalah sesuatu yang tidak semua berjaya melaksanakannya.
Jika proses 'meniru' ini beroperasi secara mendadak dan melibatkan sebahagian besar lapisan masyarakat, terutama lapisan muda, maka ia layak dipanggil cultural accultration atau akultrasi budaya.
Perubahan budaya yang paling mudah berlaku ialah melalui naluri pandang-dengar. Naluri rasa, bau dan sentuh juga penting tetapi ia agak mengekori amalan manusia yang tampak dan didengar.
Dalam konteks ini, alam hiburan - filem dan muzik, misalnya, menjadi punca pengaruh yang paling hadapan. Soalan turutannya tentulah bagaimanakah harus kita mencanai semula sajian luaran ini supaya sesuai dengan acuan jati diri bangsa Malaysia?
Jika proses 'canai semula' ini diketepikan, sebagaimana memang besar juga bilangannya dalam masyarakat kita yang tidak mahu mendukungnya, kita akan kerugian besar. Kita akan terus ada negara bangsa tetapi dikhuatiri ia diisi persepsi dan amalan yang tidak berjati diri.
Ini bererti, masyarakat yang mendagangkan ilmu, amalan dan produk sosial mereka itu akhirnya akan menembusi daya fikir dan daya penerimaan masyarakat yang meniru mereka bulat-bulat.
Apabila proses akultrasi budaya ini yang boleh dianggap sebagai penjajahan minda sudah menyeluruh dan meliputi pelbagai lapisan kehidupan masyarakat penerima, maka apa yang dipekikkan sebagai jati diri tidak akan bererti banyak lagi.
Pada masa itu kita sebenarnya sudah 'dijajah' sekali lagi, cuma kali ini tidak melalui peluru dan senjata.
Ketangkasan kita bertindak dengan bijak dalam soal mempertahankan sosiobudaya ini amat dirasai pada saat ini.
Kebebasan membiarkan Internet berleluasa dengan hidangan pornografi dan hidangan bebas yang lain mesti dihentikan.
Amat aneh dan merugikan jika piagam Internet kita secara membuta tuli membiarkan piagam 'bebas' ini sedangkan Perlembagaan Malaysia sendiri mengharuskan beberapa sekatan undang-undang dilakukan jika 'ketenteraman awam atau moraliti' negara terjejas.
Begitu juga sajian program-program memperbodoh dan melalaikan masyarakat perlu melalui tapisan. Adegan-adegan ganas, unsur-unsur seksual, pemujaan terhadap kehidupan rambang, dan mendewa-dewakan cara hidup seksual yang bersifat kasar kesemuanya tidak akan menggenapkan jati diri warga.
Tuan punya stesen-stesen radio dan televisyen perlu faham- tentang kepentingan pembudayaan bangsa Malaysia dan usaha-usaha jati diri. Begitu juga keghairahan terhadap mencacamarbakan bahasa sendiri, ia wajar diimbangi kesedaran bahasa jiwa bangsa.
Syukurlah, Jawatankuasa Kabinet mengenai program-program media elektronik telah mengambil perhatian berat tentang langkah-langkah yang sedang diambil, khususnya oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Kementerian Penerangan serta kementerian yang bertanggungjawab mengenai komunikasi.
Amat baik kiranya pihak berkuasa stesen-stesen televisyen dan radio swasta melakukan muhasabah diri sebelum terlewat. Yang hilang mesti dicari dan didapatkan. Yang hanyut mesti dipintas.

salam

hi.. teman- teman blogger semua, salam perkenalan...
sesuai dengan pepatah tak kenal maka tak sayang. jd memperkenalkan diri paling utama biar kita semua saling menyayangi.
nanti saya akan mengisi blogger ini yang bermanfaat untuk kita smua, di tunggu ya kawan.